Hari ini saya tertarik menulis sesuatu berkaitan 'jodoh'. Ini kerana masih ramai di kalangan kita yang masih sendiri tanpa teman yang halal termasuk saya. Apa yang menarik minat saya untuk menulis entri ini ialah disebabkan pengalaman dan pendapat kawan- kawan berkenaan hal jodoh. Pada hari ini, wanita semakin ramai yang berkerjaya dan hebat- hebat belaka, terlalu jauh berbeza dengan zaman- zaman yang sudah. Mungkin disebabkan fenomena ini, ramai yang masih belum bertemu calon sesuai. Namun ada juga yang mengatakan bilangan lelaki yang semakin sedikit dibandingkan golongan wanita menyebabkan fenomena ini terjadi.
Apabila usia semakin meningkat, kerisauan untuk berumahtangga juga meningkat sama kerana adanya campur tangan orang sekeliling yang kononnya risaukan kita yang tidak berteman. Walaupun layanan dan keprihatinan itu kelihatan agak baik dan menjaga sesama saudara, tahukah kalian ia seakan gunting dalam lipatan buat muslimah yang masih keseorangan? Kalian bertukar menjadi gunting - gunting yang mengoyakkan sedikit demi sedikit harapan dan semangat juang yang mereka ada. Tidak salah sebenarnya ambil berat tapi cubalah tukar cara ambil berat itu kepada sesuatu yang bermotivasi. Contohnya mengajak rakan- rakan yang masih keseorangan ini menghadiri majlis - majlis ilmu, sekurang - kurangnya hati - hati mereka akan terisi dan mula mengenal cintaNYA sekaligus tidak perlu rungsing akan cinta manusia.
Jodoh itu rahsia ALLAH! kita semua sedia maklum berkenaan hal ini. Oleh itu, persiapan menuju ke arah rahsia itu juga perlu. Sebenarnya datangnya jodoh itu bergantung dengan diri kita sendiri dan ikatan kerohanian kita pada MAHA PENGASIH. Cuba kita lihat pasangan yang telah berumahtangga, begitu ramai yang berakhir dengan penceraian. Kenapa ya? Kerana semasa bujang, ikatan dan hubungan dengan ALLAH itu kurang dititikberatkan berbanding hubungan dengan kekasih hati. Justeru, ALLAH mentakdirkan kita dengan mereka yang juga longgar ikatan hatinya terhadap ALLAH.
Sendiri tanpa kekasih itu bukan sepi tapi indah kerana kita berpeluang mencari dan meraih cinta ILAHI. Tanpa kecemburuan, tanpa pertelingkahan, kita begitu bebas bercinta denganNYA. Bagaimana cara meraih cintaNYA? Perbanyakkan amalan - amalan sunat, rajinkan diri menghadiri majlis - majlis ilmu dan berkawanlah dengan golongan yang mencintaiNYA. Apabila jiwa kita terisi dengan cintaNYA, insyaALLAH kalian tidak akan merasa sepi dalam pencarian jodoh rahsia itu tetapi kalian akan merasa aman dan damai dalam kasihNYA sehinggalah DIA merasakan kita sudah bersedia dan menitipkan buat kita si dia yang mencintaiNYA juga untuk menjaga dan membawa kita bercinta hingga ke syurga..aameen ya robb.
No comments:
Post a Comment