Friday 6 June 2014

Hormat itu milik siapa?

Dunia pekerjaan penuh dengan rencam. Ada perbezaan antara di atas dan di bawah. Ada peraturan untuk dipatuhi. Ada tekanan sama ada membawa penyakit jiwa atau hanya mengganggu emosi harian. Pihak atasan ibarat kepala yang berfikir. Di sana diperlukan kewarasan dan kebijaksanaan dalam menggubal suatu dasar yang akan menunjangi sebuah institusi. Manakala pihak bawahan umpama anggota tubuh yang lain yang diberi keutamaan mengikut keperluan dan kehebatan. Sekiranya anggota-anggota bawahan ini lumpuh atau mengalami kekacauan, dapat dilihat institusi yang dibina akan goyah malah mampu jatuh merundum sekelip mata sahaja. Oleh itu, kekuatan anggota-anggota ini amat penting didasari dengan kerjasama, perpaduan dan persaudaraan. Namun, apa yang menjadi salah satu penyakit dalam suatu institusi itu adalah sikap-sikap ketuanan yang menguasi segenap anggota atasan tanpa mengira baik buruk yang mungkin terjadi. Memang benar, anda dipilih menjadi atasan kerana kewibawaan dan kepandaian akal fikiran disamping tahap pendidikan yang kalian miliki. Walaubagaimanapun, ketuanan yang melampau tidak perlu malah tidak patut diada-adakan sehingga timbul satu tembok besar di antara pihak atasan dan bawahan. Kita hidup di era baru bukan zaman penjajah yang perlu mengkategorikan suatu masyarakat mengikut kumpulan masing-masing. Era ini merdeka itu bukan hanya pada negara tapi pada masyarakat bahkan pada hati. Jika hati tidak merdeka, tembok-tembok batu di antara bawahan dan atasan juga tidak merdeka. Di atas mengharap penghormatan pihak bawahan tanpa memberikan hak yang sama. Di sini timbul tanya tanya, hormat itu untuk siapa?

-tertutup jangan jumud, terbuka jangan alpa!