Tuesday 12 January 2016

AKU KEMBALI

Assalamualaikum..

Terasa lama tidak menjengah ke dunia perkataan. Alhamdulillah saya akhirnya terbuka hati untuk kembali. Sebenarnya pengalaman yang saya alami banyak memberi alasan untuk saya kembali berkongsi sesuatu yang terlintas pada mata kasar dan pemikiran yang masih cetek. Moga apa yang bakal saya kongsikan akan menjadi pedoman dan peringatan buat kita semua walaupun saya tidak pasti adakah sesiapa menjadi pembaca tulisan saya yang tidak seberapa ini. Namun saya tidak kisah, asalkan masa senggang yang saya miliki boleh menjadi pencetus kepada perkongsian yang sedikit mungkin boleh memotivasikan atau meringankan penderitaan hati yang membaca. InsyaAllah saya akan kongsikan coretan saya sedikit masa lagi. Salam sayang dan ingatan buat kawan-kawan yang sedang berduka mahupun dalam kegembiraan di dunia fana ini.

Friday 6 June 2014

Hormat itu milik siapa?

Dunia pekerjaan penuh dengan rencam. Ada perbezaan antara di atas dan di bawah. Ada peraturan untuk dipatuhi. Ada tekanan sama ada membawa penyakit jiwa atau hanya mengganggu emosi harian. Pihak atasan ibarat kepala yang berfikir. Di sana diperlukan kewarasan dan kebijaksanaan dalam menggubal suatu dasar yang akan menunjangi sebuah institusi. Manakala pihak bawahan umpama anggota tubuh yang lain yang diberi keutamaan mengikut keperluan dan kehebatan. Sekiranya anggota-anggota bawahan ini lumpuh atau mengalami kekacauan, dapat dilihat institusi yang dibina akan goyah malah mampu jatuh merundum sekelip mata sahaja. Oleh itu, kekuatan anggota-anggota ini amat penting didasari dengan kerjasama, perpaduan dan persaudaraan. Namun, apa yang menjadi salah satu penyakit dalam suatu institusi itu adalah sikap-sikap ketuanan yang menguasi segenap anggota atasan tanpa mengira baik buruk yang mungkin terjadi. Memang benar, anda dipilih menjadi atasan kerana kewibawaan dan kepandaian akal fikiran disamping tahap pendidikan yang kalian miliki. Walaubagaimanapun, ketuanan yang melampau tidak perlu malah tidak patut diada-adakan sehingga timbul satu tembok besar di antara pihak atasan dan bawahan. Kita hidup di era baru bukan zaman penjajah yang perlu mengkategorikan suatu masyarakat mengikut kumpulan masing-masing. Era ini merdeka itu bukan hanya pada negara tapi pada masyarakat bahkan pada hati. Jika hati tidak merdeka, tembok-tembok batu di antara bawahan dan atasan juga tidak merdeka. Di atas mengharap penghormatan pihak bawahan tanpa memberikan hak yang sama. Di sini timbul tanya tanya, hormat itu untuk siapa?

-tertutup jangan jumud, terbuka jangan alpa!

Wednesday 17 April 2013

pilihlah agama dan akhlaknya

Assalamualaikum wbt...

Setelah sekian lama menyepi, hari ini saya diberikan ilham untuk menulis yeay!! syukur alhamdulillah boleh sharing something with you alls (okeh seakan ada keperasanan di situ..abaikan!) saya selalu diutarakan dengan persoalan berkaitan couple, boyfriend etc. setiap kali soalan itu datang, setiap kali jugalah saya say no to couple, boyfriend too! situasinya seperti di bawah:

friend: awk, bf xmarah ke ( for that time, saya we chat wif the other friend)
saya: bf..? saya tak suka couple, bf too
friend: abis tu..awak xnak kawin ke?
saya: bagi saya couple not sure kawin tapi dalam kawin sure ada couple
friend: ..............................

ok my dears, berbalik pada konsep 'couple' bermacam- macam pendapat yang pasti kita temui. walau apa pun pendapat yang kita dengar, apa yang penting jagalah syariat dalam soal perhubungan. semua orang mengimpikan pasangan yang caring, loving, charming etc tapi pernah tak terlintas di fikiran kita, kita memilihnya kerana agama dan akhlaknya?

kenapa saya tekankan agama dan akhlak? dengar ye kawan- kawan, seorang muslim yang menjaga agama pasti akan menjaga akhlak dan akidahnya insyaALLAH. Sekiranya 3 perkara ini dijaga, secara tak langsung hubunganNYA dengan ALLAH juga terjaga. Golongan yang menjaga hubungan dengan ALLAH, pasti akan menjaga hubungan sesama saudara. melalui hubungan denganNYA, mereka insyaALLAH akan menjadi imam yang caring, loving, charming etc..kenapa??? kerana ALLAH menyuruh kita sentiasa berbuat baik, jauhkan kejahatan.

ok, loves..selamat menjalankan misi mencari imam yang soleh untuk menjadi pemimpinmu hingga ke jannah aameen ya rob ^_^

Tuesday 15 January 2013

Musibah tanda kasihNYA


Assalamualaikum wbt...

Siapa yang pernah melihat musibah itu sebagai kebahagiaan? Pasti ramai yang tertawa dan mengatakan kita terlalu positif dalam melihat keburukan musibah. Ini kerana dalam fikiran kita semua, musibah adalah sesuatu yang membawa kecelakaan, penderitaan dan keburukan pada diri. Namun, jika kita berlapang dada dengan musibah dariNYA, InsyaALLAH kita pasti mampu melihat keindahan musibah.

Sebenarnya minda kita merupakan sesuatu kuasa yang mampu mempengaruhi diri kerana segala tindak- tanduk kita berpandukan apa yang keluar di minda. Menyentuh tentang musibah, sekiranya minda kita telah dididik menganggapnya sebagai petaka buruk, maka ia pasti akan menjadi buruk buat kita. Cubalah mengubah persepsi tersebut. Bagaimana? Apabila suatu musibah mendekati kalian, ucaplah 'innalillahi wa inna ilaihi rojiun' - dariNYA kita datang dan dariNYA juga kita kembali. Muhasabah diri melalui musibah yang kita terima agar kita berpeluang memperbaiki kekurangan dan kesilapan yang pernah dilakukan sehingga datangnya musibah. Jangan sesekali marah terhadap musibah kerana ia seakan melempiaskan kemarahan padaNYA. Apa hak kita memarahiNYA? Kita semua adalah milikNYA dan ditugaskan menjadi khalifah di bumi sementara ini. Bersabarlah dengan apa yang menjadi ujianNYA kerana ujian itu salah satu cara untuk meningkatkan kekebalan rohani. 

Pernahkah kita menghitung berapa banyak nikmatNYA buat kita? Pernahkah kita bersyukur sebenar - benarnya syukur terhadap kenikmatan yang diberikanNYA? Tidak pernah bukan? Sekiranya nikmatNYA juga kita kufur dan tidak pernah ambil peduli, kenapa pula kita tersentap dengan sedikit musibah yang diturunkanNYA? Musibah itu tanda sayang dariNYA. DIA ingin menyedarkan kita agar tidak terlalu leka dengan nikmat dunia yang hanya sedikit jika dibandingkan dengan janji - janjiNYA buat golongan solehin di akhirat kelak. Dunia ini hanya persinggahan sementara, wahai sahabat. Dunia ini terlalu murah untuk ditukarkan dengan kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Bukalah minda kalian dan sematkan kembali tujuan sebenar penciptaan kita di dunia ini. Kita dilahirkan bukan sebagai penduduk tetap di dunia sementara ini tapi dilahirkan untuk beramal ibadah yang akan dibawa menghadapNYA kelak.

Monday 14 January 2013

jodoh : aku dan dia??

Assalamualaikum wbt..

Hari ini saya tertarik menulis sesuatu berkaitan 'jodoh'. Ini kerana masih ramai di kalangan kita yang masih sendiri tanpa teman yang halal termasuk saya. Apa yang menarik minat saya untuk menulis entri ini ialah disebabkan pengalaman dan pendapat kawan- kawan berkenaan hal jodoh. Pada hari ini, wanita semakin ramai yang berkerjaya dan hebat- hebat belaka, terlalu jauh berbeza dengan zaman- zaman yang sudah. Mungkin disebabkan fenomena ini, ramai yang masih belum bertemu calon sesuai. Namun ada juga yang mengatakan bilangan lelaki yang semakin sedikit dibandingkan golongan wanita menyebabkan fenomena ini terjadi.

Apabila usia semakin meningkat, kerisauan untuk berumahtangga juga meningkat sama kerana adanya campur tangan orang sekeliling yang kononnya risaukan kita yang tidak berteman. Walaupun layanan dan keprihatinan itu kelihatan agak baik dan menjaga sesama saudara, tahukah kalian ia seakan gunting dalam lipatan buat muslimah yang masih keseorangan? Kalian bertukar menjadi gunting - gunting yang mengoyakkan sedikit demi sedikit harapan dan semangat juang yang mereka ada. Tidak salah sebenarnya ambil berat tapi cubalah tukar cara ambil berat itu kepada sesuatu yang bermotivasi. Contohnya mengajak rakan- rakan yang masih keseorangan ini menghadiri majlis - majlis ilmu, sekurang - kurangnya hati - hati mereka akan terisi dan mula mengenal cintaNYA sekaligus tidak perlu rungsing akan cinta manusia.

Jodoh itu rahsia ALLAH! kita semua sedia maklum berkenaan hal ini. Oleh itu, persiapan menuju ke arah rahsia itu juga perlu. Sebenarnya datangnya jodoh itu bergantung dengan diri kita sendiri dan ikatan kerohanian kita pada MAHA PENGASIH. Cuba kita lihat pasangan yang telah berumahtangga, begitu ramai yang berakhir dengan penceraian. Kenapa ya? Kerana semasa bujang, ikatan dan hubungan dengan ALLAH itu kurang dititikberatkan berbanding hubungan dengan kekasih hati. Justeru, ALLAH mentakdirkan kita dengan mereka yang juga longgar ikatan hatinya terhadap ALLAH. 

Sendiri tanpa kekasih itu bukan sepi tapi indah kerana kita berpeluang mencari dan meraih cinta ILAHI. Tanpa kecemburuan, tanpa pertelingkahan, kita begitu bebas bercinta denganNYA. Bagaimana cara meraih cintaNYA? Perbanyakkan amalan - amalan sunat, rajinkan diri menghadiri majlis - majlis ilmu dan berkawanlah dengan golongan yang mencintaiNYA. Apabila jiwa kita terisi dengan cintaNYA, insyaALLAH kalian tidak akan merasa sepi dalam pencarian jodoh rahsia itu tetapi kalian akan merasa aman dan damai dalam kasihNYA sehinggalah DIA merasakan kita sudah bersedia dan menitipkan buat kita si dia yang mencintaiNYA juga untuk menjaga dan membawa kita bercinta hingga ke syurga..aameen ya robb.

Sunday 13 January 2013

Bicara cinta

Assalamualaikum wbt...

Apa yang boleh ditafsirkan apabila 'cinta' diangkat menjadi tajuk pagi ini? Bagi memudahkan pemahaman dan dekat di hati semua, kita boleh mentafsirkan cinta sebagai perasaan sayang, tertarik terhadap seseorang tapi cinta lebih sinonim dengan lawan jenis. Mungkin sudah fitrah manusia yang dijadikan berpasang- pasangan menyebabkan kecenderungan cinta sesama lawan jenis namun ada juga yang terpesong mencintai sesama jenis seperti yang berlaku di luar negara..MasyaALLAH!

Semalam, seorang teman bersedih kerana putus cinta. Walaupun dia cuba bersikap biasa, namun saya tahu dan amat faham betapa peritnya perasaan apabila tinggalkan pergi oleh orang yang kita sayangi atau cintai. Sejenak saya terimbas kisah- kisah kejatuhan saya suatu masa dahulu. Ya, pernah jatuh kerana cinta manusia. Namun kini saya bersyukur kerana cinta juga saya kembali ke landasan yang benar iaitu sedang istiqomah mencari cinta MAHA PENGASIH.

Kembali kepada topik teman tadi, saya hanya mampu mendengar keluh- kesahnya ditinggalkan kekasih hati dengan wajah yang sugul. Dia mengakui kecintaannya terhadap si dia membuatkan hatinya teramat kecewa dan mengakui mengenalinya sebagai kesilapan yang pernah dilakukan. Saya tersenyum dan mengatakan kepadanya agar bersabar dengan ujianNYA untuk menanti seseorang yang terbaik dari lelaki yang meninggalkannya itu. Dalam hati saya berdoa agar ALLAH melapangkan dadanya dengan ujian dariNYA dan memberikan kesedaran kepadanya untuk tidak lagi leka mencari cinta manusia.

Wahai para pemilik hati, janganlah mudah menagih dan mengejar cinta manusia kerana cinta manusia akan hilang dan tidak kekal. Cinta manusia sememangnya indah namun dalam keindahannya terselit senjata tajam yang mampu merobek hati- hati kita menjadi lemah, lesu dan akhirnya mati. Sekiranya, kalian pernah menemui cinta- cinta ini dan masih berduka nestapa, bangkitlah wahai saudara- saudara sekalian! Sematkanlah di dalam dada kalian, kita semua adalah milik ALLAH swt. Oleh itu, DIA berhak memberi nikmat lalu menariknya dan sebaliknya. Redhalah dengan ketentuanNYA kerana pengetahuan kita terhadap masa depan amatlah sedikit jika dibandingkan dengan pengetahuanNYA yang MAHA LUAS. Ingatlah saudara- saudara sekalian, DIA tidak akan menghampakan kita kerana ujianNYA itu sebenarnya indah buat kita. UjianNYA itu kasih sayangNYA buat kita.

Wednesday 8 February 2012

BIDADARIKU


Hawa tercipta buat Adam
Rusuk kiri asalnya bidadari
Seindah ciptaan seindah pekerti
Syurga bermulanya kisah
Walau terpisah di dunia
Cinta sejati kekal di barzakh

Hawa buat Adam
cinta sang puteri dilamar
bukan sekadar kekasih malam
bukan jua cuma teman di jalanan
engkau bidadari
pelengkap iman menuju kebenaran

“Terima kasih, wahai suamiku!”

            Matanya mula digenangi air jernih, memandang sayu ke wajah tenang yang berada di sebelahnya. Tangannya masih lagi memegang kad ucapan yang mengandungi puisi nukilan ikhlas dari suaminya sendiri. Hati wanitanya tersentuh.

                        “Terima kasih kerana setia bersama dalam suka duka, bidadariku!,” bisik Zulkarnain sambil meraih tangan sang isteri. Dikucup lembut penuh kasih. Sepantas itu juga seutas rantai tangan emas melingkari pergelangan tangan Az-Zahrah.

                        “SubhanAllah!” Az-Zahrah membelek pergelangan tangannya yang dihiasi rantai tangan emas pemberian Zulkarnain. Kali ini matanya tidak dapat menahan titisan air mata dari melucur membasahi pipi.

                        “Pemberian kecil buat bidadari tersayang,” kata Zulkarnain rendah diri. Tangannya mengesat pipi Az- Zahrah. Tidak semena- mena tubuhnya dipeluk erat. Kali ini, Az- Zahrah melempiaskan esak tangisnya dalam pelukan Zulkarnain. Hatinya benar- benar bersyukur.

                        “Happy birthday, honey!” Zulkarnain mengelus lembut belakang Az- Zahrah yang masih lagi melayan hiba. Dalam hati timbul sedikit kekesalan. Dia agak terlewat membahagiakan isteri sebaik Az-Zahrah. Baginya, Az-Zahrah persis bidadari yang dikurniakan untuknya.

******
Az-Zahrah kelihatan tenang dalam persalinan jubah putih. Solekan ringkas mak andam menaikkan seri wajahnya sebagai seorang pengantin. Di kejauhan Zulkarnain sedang menghadap Haji Ismail yang kukuh menggenggam tangan kanannya.

                        “Alhamdulillah, dah selamat!,” bisik Hajah Zainab yang duduk di sebelah Az-Zahrah. Semua hadirin di masjid menadah tangan sejurus Zulkarnain berjaya mengharungi akad nikah di hadapan Haji Ismail.
                       
                        Ketika Zulkarnain berlutut di hadapan Az-Zahrah, wajah gadis pilihan keluarganya itu ditatap sekilas. Wajah ayu yang tertunduk malu itu menggetarkan jiwa lelakinya. Namun egonya yang menggunung cuba menepis perasaan halus menyapa jiwanya. Dengan berat hati, jari manis Az-Zahrah disarungkannya jua dengan sebentuk cincin tanda perkahwinan yang termeterai. Spontan Az- Zahrah mencium tangannya. Zulkarnain sedikit terpempan.

                        “Jauhnya termenung. Dah sampai kat mana tu?,” usik Az-Zahrah sambil memeluk pinggang Zulkarnain. Suaminya itu kelihatan khusyuk melayan fikiran.

                        “Nakalnya! Dah pandai mengusik ya?!” dipegangnya tangan Az-Zahrah. Badannya dipusingkan biar setentang dengan Az- Zahrah. Ternyata isterinya itu sedang melemparkan senyuman buatnya. Tersangat indah!

                        “Abang fikir apa tadi? Bukan main khusyuk sampai berkerut- kerut dahi tu” Az-Zahrah masih tidak berpuas hati dengan kelakuan Zulkarnain.

                        “Takde apalah, sekadar mengimbas kenangan lalu,” jawabnya berselindung.

                        “Abang rindukan kak Marsyitah?” perlahan- lahan soalan itu terpancul dari mulut Az-Zahrah. Wajah Zulkarnain bertukar reaksi. Senyumannya sedikit kendur.

                        “Kenapa disoal lagi soalan yang remeh tu?” suara Zulkarnain sedikit keras. Segera ditinggalkannya Az-Zahrah di beranda sendirian. Terus dilabuhkan punggungnya di atas sofa di ruang bilik itu. Tangannya sesekali meraup wajah.

                        “Abang..” Az-Zahrah mula digigit kekesalan. Kakinya melangkah ke dalam. Menempatkan diri di sebelah kekasih hati yang seakan berjauh hati.

                        “Apa lagi yang harus abang lakukan untuk menebus kesilapan abang yang lalu?,” tanya Zulkarnain perlahan. Ada kesedihan dihujung pertanyaan itu. Az-Zahrah mula tidak keruan. Diraihnya tangan kanan sang suami.

                        “Maafkan Zahrah jika pertanyaan tadi membuatkan abang bersedih hati. Bukan niat Zahrah nak menghukum abang. Hati Zahrah dah lama rela dengan takdirNya” dengan bersungguh dikucupnya tangan Zulkarnain. Dia benar- benar takut menyebabkan hati suaminya itu terguris. Hatinya takut memikirkan azab akibat penderhakaan terhadap suaminya itu.

                        “Sepatutnya abang yang memohon maaf, bukannya Zahrah,” keluh Zulkarnain kesal. Diangkatnya wajah Az-Zahrah. Ditatapnya mata bulat milik isterinya itu. Keluhan kecil  terkeluar dari mulut Zulkarnain.

                        “Abang..” tangannya segera menarik tangan sasa milik Zulkarnain. Diletakkannya tangan itu di atas perutnya. Zulkarnain sedikit kehairanan.

                        “Az-Zahrah mengandung?” pertanyaan itu dilontarkan perlahan.
                       
                        “Zahrah lapar! Tadi cakap nak breakfast. Sekarang dah pukul berapa. Takkan nak sekalikan lunch plus breakfast,” jawab Az-Zahrah yang memecahkan tawa Zulkarnain. Dia beristighfar perlahan kerana kelalaian membiarkan isterinya itu berlapar.

                        “Kesiannya bidadari abang ni lapar. Dah..jom kita turun breakfast!” segera diraihnya tangan Az-Zahrah. Sebelum meninggalkan ruang bilik hotel yang disewanya itu, dicubitnya mesra pipi isteri tersayang. Percutian kali ini merupakan hadiah buat Az-Zahrah yang baru mencapai usia 30 tahun. Sepanjang percutian, segala urusan kerja dikeluarkan dari mindanya yang sememangnya terkenal dengan gelaran ‘workaholic’. Demi bidadarinya itu dia rela terasing dari dunia perniagaan.

******
Malam itu, Zulkarnain membawa Az-Zahra menikmati makan malam di restoran yang terletak di aras bawah hotel tempat mereka menginap. Pasangan suami isteri itu sedondon. Zulkarnain kelihatan santai memakai kemeja berwarna biru lembut. Manakala Az-Zahrah memilih mengenakan jubah warna senada dengan suaminya. Tatkala pasangan itu berada di ruang restoran itu, sikap romantis Zulkarnain menjadi tontonan. Lelaki itu begitu ikhlas menarik kerusi untuk Az-Zahrah. Jarang sekali seorang suami mahu berbuat demikian. Tapi berlainan dengan Zulkarnain yang menganggap Az-Zahrah adalah seorang isteri yang wajar dilayan selayak puteri.

                        “Sedap tak makanan kat sini?,” tanya Zulkarnain semasa menikmati makan malam yang terhidang. Muzik lembut yang menguasai seluruh ruang mendamaikan sesiapa sahaja.

                        “Alhamdulillah, sedap sangat,” puji Az-Zahrah sambil tersenyum senang. Sesekali dia menyuap makanan ke mulut suaminya.

                        Tiba- tiba seorang pelayan datang mendekati meja mereka. Sebiji kek blueberry diletakkan diantara mereka. Az-Zahrah sedikit terkejut menerima kejutan itu. Zulkarnain hanya tersenyum melihat reaksinya.

                        “Masya-Allah, suamiku! Kejutan apa lagi ni?” Az-Zahrah tidak menyangka ada kejutan menantinya malam itu. Zulkarnain meninggalkan tempat duduknya. Az-Zahrah hanya memerhatikan pemergian suaminya.

                        Alunan biola mengganggu perhatian Az-Zahrah. Pandangannya segera mencari empunya pemain biola. Dia seakan tidak percaya. Kelihatan Zulkarnain sedang menggesek biola mengalunkan lagu kegemarannya sambil bergerak menghampirinya. Tetamu restoran yang menyaksikan situasi itu turut bertepuk tangan. Az-Zahrah terasa malu apabila dirinya menjadi perhatian kala itu.

                        “Selamat hari lahir, wahai bidadariku! Semoga jodoh kita berpanjangan hingga ke alam yang kekal. Andai malam ini adalah yang terakhir, abang redha kerana Allah swt telah menganugerahkan nikmat tak terhingga. Mengahwinimu adalah keindahan itu,” bisik Zulkarnain setelah selesai menggesek biola. Az-Zahrah hanya mampu tersenyum. Lidahnya seakan kelu untuk mengungkapkan kegembiraannya.

******
Hatinya sakit seperti ditusuk belatih. Degupan jantung yang memuncak sesekali menyekat pernafasannya. Tangannya begitu kuat mencengkam stereng kereta. Dia seakan tidak dapat menerima apa yang sedang terpampang diruang matanya.

                        “Nur Marsyitah Sulaiman dengan bersaksikan Allah swt, aku ceraikan kau dengan talak tiga. Moga Allah memberimu sebenar- benar petunjuk” kalimah yang mengubah kehidupannya itu masih terngiang- ngiang dicuping telinganya.

                        “Kau kejam! Kau kejam!,” jeritnya sekuat hati. Serentak itu, kereta perodua myvi yang dipandunya bergerak laju ke hadapan.

                        “Az-Zahrah..!”
                        Tubuh Az-Zahrah rebah ke bumi. Dunianya serta- merta kelam. Zulkarnain yang terperanjat dengan situasi yang terlalu cepat itu segera memangku kepala Az-Zahrah. Dalam kekalutan itu, dia sempat menangkap nombor flat kereta yang melanggar isterinya. Kereta itu terlalu familiar pada pandangannya.

                        “Az-Zahrah, bertahanlah wahai bidadariku!,”kata Zulkarnain penuh pengharapan sebelum membiarkan isterinya itu di bawa masuk ke unit kecemasan oleh beberapa orang kakitangan hospital.

                        Zulkarnain melabuhkan punggungnya di kerusi pelawat. Air matanya jatuh tidak tertahan mengenangkan nasib Az-Zahrah yang belum pasti. Kalau ikutkan hati yang kecewa, ingin sahaja dia menjerit. Namun jauh disudut hatinya dia cuba bersabar. Ini adalah salah satu ujian dariNya.

                        “Ya Allah, Engkau selamatkanlah nyawa isteriku! Dia telah banyak menderita kerana aku. Ringankanlah penderitaannya, Ya Allah!,” doanya dalam hati dengan cucuran air mata yang tiada hentinya.

                        “Encik Zulkarnain” namanya dipanggil seseorang. Zulkarnain yang dipukul kesedihan segera memandang empunya suara.

                        Doktor yang merawat Az-Zahrah itu memandangnya sambil tersenyum. Ternyata Zulkarnain tidak menyedari masa berlalu dengan pantas. Dia terlalu melayan kesedihan.

                        “Bagaimana keadaan isteri saya?,” tanya Zulkarnain dengan wajah sugul.

                        “Puan Az-Zahrah masih belum sedarkan diri. Isteri Encik ok, takde sebarang masalah. Cuma anak Encik tak dapat diselamatkan”

                        “Anak??”

                        “Maaf, mungkin Encik dan isteri tidak menyedari yang isteri Encik mengandung. Disebabkan kemalangan tadi, isteri Encik keguguran. Banyakkan bersabar!” doktor itu sempat menepuk- nepuk bahu Zulkarnain sebelum melangkah pergi.

                        “Astaghfirullah hal azim” hanya itu yang mampu terkeluar dari mulutnya selepas mendengar perkhabaran buruk itu. Lantas wajah manis isterinya terpampang diruang mata. Sekali lagi dia menangis.

******
                        “You’re pregnant. Congratulation!,” ucap Doktor Hajar sambil menghulurkan tangannya. Az-Zahrah teragak- agak menyambut huluran tangan itu.

                        “Are you sure, doc?” perasaan kurang percaya membenamkan kegembiraan yang singgah dihatinya. Doktor Hajar tersenyum.

                        “It’s true, Az-Zahrah! Dah dua bulan” Doktor Hajar sedaya upaya cuba meyakini Az-Zahrah. Wanita muda itu akhirnya tersenyum senang.

                        “Alhamdulillah ya Allah! Akhirnya Engkau berikan aku kesempatan” Az-Zahrah memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga.

                        Kenangan indah beberapa tahun yang lepas terimbas dimindanya. Perlahan- lahan dia memegang perutnya yang masih lagi kempis. Diusapnya perlahan. Kerinduannya kepada janin yang pernah menghuni rahimnya mengetuk hati keibuannya.

                        “Puan jangan banyak bergerak. Orang keguguran sama seperti orang yang melahirkan,” kata jururawat yang merawatnya sebentar tadi. Dia benar- benar terkejut.

                        “Gugur?” seakan tidak percaya dengan pernyataan tersebut.

                        “Akibat kemalangan yang menimpa puan, kandungan puan tak dapat diselamatkan. Mungkin puan tak sedar puan mengandung. Takpelah, take your rest!”

                        ‘ya Allah, aku berserah padaMu! Engkau kuatkanlah imanku dalam menempuhi ujianMu ini. Janganlah Engkau hitamkan hatiku dengan ujian ini, ya Allah!,’ doanya dalam hati.
                       
                        Az-Zahrah menangis mengenangkan pemergian zuriatnya buat kali kedua. Dia tidak menyangka dalam kegembiraan semasa percutian, ada si kecil yang menumpangi rahimnya. Dia benar- benar menyesal akan kelekaannya.

                        ‘Maafkan ibu! Ibu tak sedar akan kehadiranmu, anakku,’ bisiknya sayu sambil mengelus lembut perutnya yang sudah tidak huni si kecil. Air matanya semakin deras berjuraian.

******
Az-Zahrah mematung di atas katil. Fikirannya menerawang jauh, entah ke mana. Wajahnya kelihatan pucat dan cengkung. Walaupun doktor telah mengesahkan dirinya telah sihat sepenuhnya namun keadaannya tetap sama seperti semasa berada di hospital.

                        Pintu bilik terkuak perlahan. Tersembul tubuh Zulkarnain disebalik daun pintu. Matanya terus terpanah ke arah Az-Zahrah yang seperti biasa melayan kesedihannya. Dihampirinya Az-Zahrah. Melihatkan kehadiran Zulkarnain, Az-Zahrah terus membaringkan dirinya dan memalingkan wajahnya.

                        “Az-Zahrah, dah berapa lama abang lihat keadaanmu begini. Janganlah terus menyepi, abang benar- benar bimbang,” kata Zulkarnain yang melabuhkan punggungnya disisi tubuh Az-Zahrah.

                        Tiada jawapan dari Az-Zahrah. Isterinya itu seakan cuba mengasingkan diri bukan sahaja dari dunia luar bahkan dengan dirinya juga. Zulkarnain memejamkan matanya. Perit melihat keadaan Az-Zahrah.

                        “Abang rindukan bidadari abang yang tak pernah gentar dengan ujianNya. Bidadari yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada ketentuanNya. Jangan biarkan syaitan berjaya memujuk hatimu untuk jauh dari kasih sayangNya,” pujuk Zulkarnain dengan nada yang lembut.

                        “Izinkan Zahrah ke rumah bonda,” pinta Az-Zahrah tanpa menoleh ke arah Zulkarnain.

                        “Abang izinkan sekiranya itu mampu memulihkan keadaan Zahrah,” jawab Zulkarnain memberi kebenaran walaupun dia akan kerinduan tanpa kehadiran sang isteri di sisi.

                        Az-Zahrah hanya mendiamkan diri. Zulkarnain sudah kehilangan kata untuk terus memujuk Az-Zahrah. Wanita yang dikenalinya sebagai berjiwa kental itu seakan berubah kini. Sudah terlalu jarang Az-Zahrah mengeluarkan bicara. Seakan semangatnya telah hilang bersama kehilangan itu.

******
Setelah menempuh beberapa jam dalam perjalanan, akhirnya mereka sampai. Kereta Honda Civic yang dipandu Zulkarnain berhenti di perkarangan rumah Haji Ismail. Hajah Zainab yang berehat- rehat di bawah pondok kecil di hadapan kediamannya itu tersenyum senang. Tidak lama kemudian, Haji Ismail muncul dari dalam rumah.

                        Az-Zahrah keluar dari dalam perut kereta. Segera dicapainya tangan Haji Ismail yang berdiri tidak berapa jauh darinya. Haji Ismail mengusap lembut kepala Az-Zahrah yang ditutupi tudung. Dia tahu anaknya itu sedang bersedih. Hajah Zainab menghampiri anak dan suaminya.

                        “Bonda!” Az-Zahrah mendakap tubuh gempal wanita yang disayanginya itu. Kerinduannya kepada Hajah Zainab mula terlerai.

                        Zulkarnain yang berdiri dengan menjinjit beg pakaian turut tersentuh hati melihat adegan itu. Dia tahu Az-Zahrah lebih memerlukan sokongan kedua orang tuanya dalam menghadapi dugaan getir itu.

                        “Banyakkan bersabar, Zul! Berikan waktu untuk Zahrah memulihkan kekecewaannya,” pujuk Haji Ismail selepas menikmati makan tengahhari sebentar tadi. Ketika itu, mereka berdua sedang merehatkan badan di pondok yang terbina di hadapan rumah.

                        “Saya sentiasa berdoa agar Az-Zahrah kembali seperti dahulu. Hati saya luluh melihat keadaannya sekarang, seperti hatinya telah hancur berkecai. Dengan saya pun dia dah jarang berbual,” luah Zulkarnain dengan wajah sugul. Dia cuba mengukir senyum tapi terasa kelat. Haji Ismail menepuk- nepuk bahu menantunya itu.

                        “Ayah yakin Zahrah akan pulih seperti dahulu. Dia sedang mencuba mencari ketenangan di sini. Mudah- mudahan Allah permudahkan jalannya” Haji Ismail melemparkan pandangannya jauh. Lelaki tua itu juga sama seperti Zulkarnain, turut bersusah hati dengan keadaan Az-Zahrah.

                        Kesepian yang tercipta di antara Haji Ismail dan Zulkarnain terganggu dengan kehadiran Hajah Zainab yang datang membawa dulang berisi seteko kopi pekat bersama sepiring kek pandan.

                        “Jemputlah minum, Zul. Bonda baru buat kek ni, tak sangka petanda menantu nak datang menjenguk” Hajah Zainab menghulurkan secawan kopi kepada Zulkarnain.

                        “Terima kasih, bonda. Patut ayah makin sayang, rajin betul bonda buat kek,” usik Zulkarnain yang mengundang tawa Haji Ismail. Wajah Hajah Zainab kemerah- merahan menahan usikan.

                        “Az-Zahrah pun bertuah menjadi isteri kamu, sanggup bersusah payah dan tabah orangnya. Mudah- mudahan rumahtangga kamu berdua sentiasa dilindungi Allah,” ujar Hajah Zainab sambil tersenyum. Haji Ismail mengangguk tanda bersetuju.

******
“Assalamualaikum” kedengaran suara Zulkarnain memberi salam. Dia yang duduk di birai katil menanti penuh debar.

                        “Wa’alaikumsalam,” jawabnya perlahan. Suaranya cukup lembut. Dia ingat lagi pesanan bonda yang mengingatkannya agar sentiasa bersuara lembut apabila mendepani suami.

                        Zulkarnain melabuhkan punggungnya tidak jauh dari Az-Zahrah. Sengaja tidak memandang ke wajah yang sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman jiwanya. Namun hati kecilnya membentak agar tidak layu dengan godaan Az-Zahrah.

                        “Boleh saya bertanya?” datar saja soalan yang meluncur dari bibir Zulkarnain.

                        “Abang berhak, silakan!”

                        “Kenapa Az-Zahrah menerima perkahwinan ni? Sedangkan kita tak pernah berkenalan, bercinta lagilah jauh” Az-Zahrah sedikit tersentak dengan kelancangan soalan itu. Namun dia tersenyum cuba menutup resah hati.

                        “Zahrah menerima abang kerana agama. Setelah dipersetujui ayah dan bonda, Zahrah yakin abang adalah pemilik tulang rusuk kiri ini. Walaupun kita tak pernah berkenalan, sepanjang perkahwinan ini insyaAllah Zahrah akan cuba mengenali abang dan memberi ruang untuk kita saling mengenali. Zahrah yakin dengan jodoh yang ditetapkan oleh Allah buat Zahrah. Maafkan Zahrah jika terdapat kesilapan dalam tutur kata Zahrah”

                        Zulkarnain mengetap bibir mendengar tutur kata Az-Zahrah yang begitu lembut dan berhemah namun menyentak jiwa lelakinya yang penuh keegoan. Namun dia tetap berkeras menyatakan bahawa Az-Zahrah bukanlah untuknya.

                        “Pada malam ni, biarlah saya berterus- terang. Sebenarnya saya agak keberatan menerima Zahrah sebagai suri di hati kerana hati saya bukan milik Zahrah. Ada insan lain yang menghuninya dan terdahulu dari Zahrah” Az- Zahrah beristighfar perlahan.

                        “Zahrah tak pernah salah menilai ketentuan dariNya. Walau apa pun perasaan abang terhadap Zahrah, izinkan Zahrah menjadi isteri solehah yang sentiasa berbakti untuk abang hingga ke akhirnya”

                        Zulkarnain mendengus kasar. Ternyata Az-Zahrah begitu sukar untuk disakiti dengan kata- kata. Ada sahaja yang dijawabnya dan membuatkan egonya tercalar. Lantas, malam pengantin itu dibiarkan sepi. Dia membiarkan Az-Zahrah sendirian di katil pengantin yang dihias indah.

                        ‘Maafkan abang kerana pernah melukaimu dahulu. Abang terlalu bodoh hingga sanggup memberimu penderitaan yang tidak sepatutnya untuk seorang isteri sebaikmu,’ bisik hati kecil Zulkarnain tatkala kenangan lampau mengimbau mindanya. Kini, Az-Zahrah seakan menghukumnya kerana dosa  lampau.

******
Tahun 2006

Bibirnya mengulum senyum puas. Melihat aneka juadah yang terhidang di meja makan sudah cukup membuka selera sesiapa sahaja. Namun bukan keenakan yang menjadi keutamaannya kala itu, apa yang pasti semua juadah adalah kegemaran Zulkarnain. Deheman Zulkarnain mematikan lamunannya.

                        “Jemput duduk, bang,” pelawa Az-Zahrah yang setia menanti di ruang makan dengan senyuman manis yang tak pernah lekang dibibir.

                        Zulkarnain hanya mengangguk sekadar Cuma. Pandangannya melata ke segenap lauk- pauk yang terhidang. Ada riak gembira di matanya. Az-Zahrah mencedokkan nasi buatnya. Kemudian, pinggan berisi nasi itu dipenuhi dengan bermacam jenis lauk. Seperti biasa, Zulkarnain menghulurkan tangan kanannya sedangkan Az-Zahrah mencurahkan air dari teko puiter untuk membersihkan jemari Zulkarnain. Baiknya Az-Zahrah!

                        Sedang asyik menikmati makan malam, telefon rumah berdering nyaring. Az-Zahrah terus membersihkan tangan kanannya lalu berlari anak menuju ke ruang tamu. Ganggang telefon diletakkan di telinganya.

                        “Assalamualaikum” begitu lembut tapi tegas suara Az-Zahrah.

                        “Wa’alaikumsalam” sambutan salam dari seberang kasar sekali bunyinya. Az-Zahrah dapat meneka siapa pemanggilnya. “Panggilkan abang Zul,” arahnya tanpa dipinta.

                        Az-Zahrah akur. Segera diatur langkahnya ke ruang makan. Melihat Zulkarnain begitu asyik menyuap nasi ke mulut, terasa susah untuk menyatakan niat si pemanggil. Namun digagahinya jua.

                        “Abang, kak Marsyitah call” suaranya lembut memberitahu sang suami. Zulkarnain terhenti dari menyuap makanan ke mulut. Wajahnya sedikit kelat.

                        “Assalamualaikum, Marsyitah. Kenapa..ada apa- apa yang tak kena ke?,” tanya Zulkarnain sejurus menganggkat ganggang telefon. Hatinya mula keresahan.

                        “Wa’alaikumsalam. Abang kena balik juga sekarang. Mar dah masak makanan kegemaran abang ni,” kata Nur Marsyitah di hujung talian. Zulkarnain mengerutkan dahinya.

                        “Mar masak? Malam ni giliran Az-Zahrah! Mar dah lupa ke?” dia seakan pelik dengan Nur Marsyitah yang sememangnya tahu akan jadual gilirannya.

                        “Abang dah lupa ke hari ni hari ulang tahun perkahwinan kita. Sampai hati abang lupa,” kata Nur Marsyitah sedikit sedih. Zulkarnain menepuk dahinya.

                        “Allahu akhbar! Abang lupalah, Mar. Takpelah, esok kita celebrate kat luar. Malam ni giliran Az-Zahrah, takkan abang nak balik rumah Mar. Dah lama abang tak balik kerana Mar sakit. Esoklah kita celebrate ye, Mar” dia cuba memujuk isteri keduanya itu.

                        “Mar tak kira abang kena balik malam ni. Jangan sampai Mar datang jemput abang kat rumah Zahrah”

                        “Please Mar. Abang kena berlaku adil dengan isteri- isteri abang. Zahrah boleh je beralah sewaktu Mar sakit, sekarang apa salahnya Mar beralah”

                        “Sikit- sikit Zahrah! Semua benda mesti kaitkan dengan Zahrah. Mar dah bosan dengan semua ni. Zahrah bubuh guna- guna apalah agaknya sampai abang dah tak sayangkan Mar”

                        “Mar..!” klik. Talian diputuskan dari seberang. Zulkarnain menghela nafas panjang. Ternyata Nur Marsyitah tidak pernah mahu berubah. Isterinya itu keras hati dan cemburu buta. Berlainan benar dengan Az-Zahrah.

                        “Abang baliklah temankan kak Marsyitah,” usul Az-Zahrah ketika berada di kamar tidur. Jelas sekali Zulkarnain sedikit terganggu dengan panggilan dari Nur Marsyitah.

                        “Malam ni giliran Zahrah,” kata Zulkarnain yang cuba menenangkan perasaan resahnya. Entah kenapa malam itu, debaran di dadanya berlainan rentaknya.

                        “Takpelah, bang. Zahrah dah biasa sendirian. Kalau malam hari abang tak dapat temankan Zahrah, siang hari pun abang selalu datang menjenguk Zahrah” walaupun suara Zahrah lembut lenggoknya namun cukup mencengkam jiwa lelakinya.

                        Dihampirinya Az-Zahrah yang sedang menghadap cermin solek. Melalui bayangan cermin, Az-Zahrah melemparkan seulas senyuman untuknya. Dipegangnya kedua belah bahu Az-Zahrah. Ubun- ubun Az-Zahrah diciumnya lembut.

                        “Abang baliklah rumah kak Mar. Zahrah tak kisah, bang,” ujar Az-Zahrah yang tahu gelodak rasa suaminya. Dia tidak mahu menambahkan lagi keresahan dijiwa Zulkarnain.

                        “Abang berdosa padamu, Zahrah. Kalaulah masa boleh diputar kembali, abang takkan ulangi kesilapan abang ni,” keluh Zulkarnain perlahan. Az-Zahrah berdiri dari tempat duduknya. Dia menghadap tubuh tinggi suaminya itu dengan pandangan penuh kasih.

                        “Jangan anggap semua ini kesilapan abang. Semua ini ujian Allah buat kita. Bukankah Allah pernah berfirman tidakkan sunyi hidup hambaNya yang beriman sehingga Allah akan memberinya ujian akan keimanannya itu” Zulkarnain memandang sayu anak mata Az-Zahrah. Segera diraihnya tubuh Az-Zahrah kedalam dakapannya. Dalam hati dia bersyukur.

******
Hon kereta ditekannya berkali- kali. Hati yang dipenuhi api kemarahan dibiarkan marak membakar diri. Difikirannya terpampang kemesraan Zulkarnain melayani Az-Zahrah. Semua andaian itu menambahkan rasa sakit hatinya.

                        Dari kejauhan, kelihatan Zulkarnain keluar dari dalam rumah. Di belakangnya, Az-Zahrah. Dia terus keluar dari perut kereta proton myvi miliknya. Kali ini, mereka berdepan antara satu sama lain.

                        “Tahu pula nak keluar. Ingatkan dah seronok sangat dibuai asmara,” perli Nur Marsyitah sambil memeluk tubuh. Matanya memandang jelik ke arah Az-Zahrah yang mula kerisauan.

                        “Mar jangan nak melampau. Buat bising malam- malam ni, mengganggu jiran- jiran. Cuba matang sikit perangai tu, jangan ikutkan sangat cemburu buta tu” Zulkarnain seakan sudah mula dibakari api kemarahan. Az-Zahrah mengusap- ngusap belakang suaminya dengan wajah resah.

                        “Abang.. Kak Mar, kita masuk dulu. Tak manis borak kat luar ni,” usul Az-Zahrah yang takut pertengkaran kecil itu mengganggu jiran tetangga. Sesekali matanya melilau ke kiri kanan.

                        “Aku tak ingin nak masuk ke dalam rumah kotor kau ni. Pura- pura baik depan aku konon. Ingat aku nak berbaik dengan kau ke hah?,” tengking Nur Marsyitah sambil menolak tubuh Az-Zahrah dengan kuat sehingga terjatuh ke tanah. Az-Zahrah mengaduh kesakitan.

                        “Nur Marsyitah!!!” tanpa disedari, Zulkarnain menarik kasar tubuh Nur Marsyitah lalu ditamparnya pipi isterinya itu. Nur Marsyitah tersentak sambil memegang pipinya yang terasa perit.

                        “Dulu abang tak pernah nak jentik apatah lagi naik tangan. Tapi kerana perempuan ni abang sanggup tampar Mar” jari telunjuk sesekali terarah kepada Az-Zahrah yang masih terbaring di tanah.

                        “Mar dah melampau! Tahu tak, Zahrah dah banyak berkorban demi Mar. Abang hampir- hampir berlaku tak adil kerana Mar,” keluh Zulkarnain kesal dengan kelakuan Nur Marsyitah.

                        “Abang..” Zulkarnain memandang Az-Zahrah. Pertengkaran kecil itu membuatkannya lupa akan kehadiran Az-Zahrah. Segera dihampirinya Az-Zahrah.

                        “Anak kita, bang” bergetar suara Az-Zahrah sambil menunjukkan tangannya yang dikotori darah merah. Zulkarnain terkejut.

                        “Ya Allah, Zahrah mengandung? Astaghfirullah, Zahrah!” segera diangkatnya tubuh Az-Zahrah masuk ke dalam keretanya. Nur Marsyitah terpinga- pinga melihat situasi tersebut.

******
Az-Zahrah hanya mampu mengalirkan air mata. Hatinya benar- benar digigit kesedihan yang teramat. Zulkarnain hanya membatu tanpa kata. Berita keguguran Az-Zahrah amat menyedihkannya kala itu.

                        Tiba- tiba Zulkarnain pergi meninggalkan Az-Zahrah sendirian melayan perasaan. Langkahnya terhenti apabila melepasi pintu bilik yang menempatkan Az-Zahrah. Nur Marsyitah menghampirinya dengan wajah sedih.

                        “Mar tak tahu Zahrah mengandung, bang. Maafkan, Mar!” digenggamnya tangan kanan Zulkarnain erat, mohon dimaafkan. Namun wajah Zulkarnain sudah menggambarkan kemarahan dihatinya.

                        “Nur Marsyitah Sulaiman dengan bersaksikan Allah swt, aku ceraikan kau dengan talak tiga. Moga Allah memberimu sebenar- benar petunjuk”
                       
                        Mendengar kalimat yang terkeluar dari mulut Zulkarnain, Nur Marsyitah terduduk ke lantai. Dia seakan tidak percaya Zulkarnain baru saja melafazkan talak buatnya. Perlahan- lahan air matanya jatuh. Dia meraung kesedihan tapi tidak sedikit pun mengubah tekad di hati Zulkarnain. Ditinggalkannya Nur Marsyitah sedirian.

                        Walaupun kejadian itu telah berlaku beberapa tahun yang lalu, kesannya masih terbuku di hati Nur Marsyitah. Dia masih belum mampu menerima hakikat dirinya ditinggalkan oleh Zulkarnain. Kelukaannya itu lebih parah daripada luka hatinya semasa menerima perkhabaran perkahwinan Zulkarnain dan Az-Zahrah. Dia hampir- hampir berputus asa dengan kehidupan sehinggalah Az-Zahrah sendiri datang menemuinya untuk melamarnya sebagai isteri kedua buat Zulkarnain selang beberapa bulan dari tarikh perkahwinan mereka.

                        “Zahrah rela berkongsi kasih dengan kak Marsyitah asalkan abang Zulkarnain bahagia. Zahrah sanggup melakukan apa saja demi suami zahrah,” kata Az-Zahrah semasa datang melamarnya suatu masa dahulu.

                        Sinar- sinar kebahagiaan mula menyinari hidup Nur Marsyita walaupun dia hanyalah isteri kedua Zulkarnain. Tapi dia rela demi cintanya. Apabila masa berlalu, Nur Marsyitah mula tamak. Kebaikan Az-Zahrah memakan diri. Dia mula memasang strategi kotor untuk menjauhkan Az-Zahrah dari hidupnya dan Zulkarnain. Namun takdirnya bukan begitu. Zulkarnain yang beralih arah dan menjatuhkan talak buatnya. Mengenangkan kepahitan itu, Nur Marsyitah terus- terusan menangis kesedihan.

******

Tangannya yang ditadah tadi usap ke seluruh wajah. Mulutnya masih lagi menyebut kalimah istighfar. Perlahan- lahan telekung yang dipakai dilurutkan dari tubuhnya lalu disidai pada kayu penyangkut. Dia berdiri di hadapan cermin solek. Wajah yang sedikit pucat dibeleknya lama.

                        “Isteri abang ni seindah bidadari” pujian yang sentiasa terkeluar dari mulut Zulkarnain terngiang- ngiang ditelinganya. Az-Zahrah menghela nafas panjang. Sudah seminggu berlalu, terasa kerinduan terhadap Zulkarnain mula meresapi jiwanya.

                        Telefon bimbitnya berbunyi, tanda ada mesej yang diterima. Dengan malas, dia menuju ke katil yang telah dikemas. Telefon bimbit segera dicapai.

From: kekasihku
22-Jun-2011  10:30am
Salam, bidadariku! Abang on the way ke kampung.miss you honey!

                        Az-Zahrah tersenyum riang. Tangannya terus ligat bermain- main pada keypad telefon bimbitnya. Mesej dari Zulkarnain dibalasnya secepat mungkin.

To: kekasihku
22-Jun-2011  10:35am
Ws, suamiku! Zahrah menanti kepulangan abang. Miss you too dear!

                        Az-Zahrah segera keluar dari dalam biliknya. Mencari kelibat Hajah Zainab di ruang tamu namun hampa. Tidak lama kemudian, dia menepuk dahinya sendiri. Dia baru teringat ibunya itu mengikuti kuliah agama di masjid. Begitu juga dengan Haji Ismail. Tanpa membuang waktu, dia menuju ke dapur. Melihat jika ada sesuatu yang boleh dimasak untuk menyambut kepulangan Zulkarnain.

                        “Kak Mar?!” Az-Zahrah terperanjat melihat bekas madunya itu berada di ruang dapur. wajah Nur Marsyitah kelihatan bengis.

                        “Apa khabar, Zahrah? Aku datang ni nak melihat keadaan kau. Tak sangka bukan?!,” kata Nur Marsyitah sambil tersenyum sinis. Tangannya menggenggam sebilah pisau yang dijumpai di dalam laci meja.
           
                        “Zahrah...sihat, kak. Kak Mar sihat ke?,” tanya Az-Zahrah yang mula diserang ketakutan. Nur Marsyitah seakan tidak berada dalam kondisi emosi yang normal.

                        “Aku merana..tersangat merana sejak Zul tinggalkan aku. Setiap hari aku menanti dia kembali kepadaku tapi..hampa! Dia dah tak sayangkan aku” Nur Marsyitah mengacu- acu pisau yang ada ditangannya.

                        “Kak, jangan main- main dengan pisau tu..tajam! Nanti akak luka. Bawa- bawa istighfar kak. Mari kita duduk di ruang tamu, borak- borak” Az-Zahrah cuba memujuk.

                        “Kau tak faham perasaan aku, Zahrah! Dulu..kau rampas dia dari aku. Kau paksa dia kahwin dengan kau dan sekarang kau paksa dia ceraikan aku. Kau kejam, Zahrah! Aku benci kau!!!”

                        Az-Zahrah terkejut dengan jeritan Nur Marsyitah. Wanita itu juga tidak semena- mena meluru ke arahnya. Cuba mencederakannya dengan pisau yang dipegang Nur Marsyitah. Pergelutan berlaku di ruang dapur.

******
“Nama kau siapa?,” tanya seorang wanita yang agak muda darinya sambil tersengih- sengih.

                        “Aku dah lupa siapa aku,” jawabnya cuba mengingati sesuatu. Sesekali dia menggaru- garu kepalanya yang tidak gatal.

                        “Gambar siapa tu?” wanita itu memandang sekeping gambar lelaki yang dipegangnya. Lantas disembunyikannya gambar itu dari pandangan wanita muda itu.

                        “Kau jangan nak rampas dia dari aku. Dia suami aku!”

                        Wanita muda itu tidak puas hati. Dengan sekali rembatan, gambar itu berjaya diambilnya. Dia agak marah dengan kelakuan wanita muda itu yang cuba melarikan diri.

                        “Zahrah...! kau jangan nak rampas Zul dari aku,” jeritnya sekuat hati lalu cuba mengejar wanita muda itu. Namun langkahnya mati apabila beberapa orang kakitangan rumah sakit itu menangkapnya dan membawanya masuk ke dalam sebuah bilik. Dia menjerit hysteria.

                        “Lepaskan aku!!!!! Dia rampas suami aku!!!!” rontaannya begitu kuat sekali namun tidak menghalang kakitangan perubatan itu membenamkan jarum suntikan ke bahunya. Perlahan- lahan rontaannya mula lemah. Hanya mulutnya sesekali kedengaran memanggil nama seseorang yang disayanginya.

                        “Kelihatan pesakit ni menyebut nama seseorang. Siapa, doktor?,” tanya pembantu yang sudah beberapa tahun bertugas di rumah sakit itu. Pandangannya masih terarah kepada pesakit yang tenang di atas katil itu.

                        “Masalah rumahtangga kot tapi mengikut rekod dia mencederakan bekas madu sebelum ditempatkan di sini. Entahlah, dia berdendam agaknya,” jawab doktor muda itu lalu berlalu pergi. Masih ramai lagi pesakit yang perlu dirawat.
                        “Nur Marsyitah Sulaiman” pembantu itu sempat membaca nama pesakit melalui rekod perubatannya. Sekali lagi dia memandang wanita yang disahkan mengalami gangguan jiwa itu. Pada pandangannya, Nur Marsyitah begitu cantik untuk menjadi orang gila. Namun takdir Allah tiada siapa yang dapat menyangkal.

******

Bismillahirahmanirrahim...

Ya Allah Ampunilah daku
Ya Allah Ampunilah isteriku dan keluargaku yang tercinta.
Ya Allah berikanlah kesejahteraan buat isteriku di dunia dan di akhirat.
Ya Allah berikanlah dirinya kegembiraan dan ketenangan bila bersama ku
Ya Allah jagalah kami sekeluarga dan sesungguhnya penjagaanMu itulah yang amat kami perlukan
Ya Allah yang Maha Besar dan Maha Kaya. Ya Allah kasihanilah kami...

Ameen...

                        Selesai melafazkan doa, tangannya meraup wajahnya yang dicemari air jernih. Buat seketika dia bertafakur mencari ketenangan yang semakin menjauh dari dirinya sejak sebulan lepas.
Doa buat isteri tersayang tidak pernah luntur dari setiap sujudnya.

                        “Zulkarnain, Zahrah..” belum sempat Haji Ismail menghabiskan ayatnya, Zulkarnain meluru keluar dari ruang solat hospital. Dia berlari menuju wad yang menempatkan Az-Zahrah.

                        “Zahrah kenapa, bonda?,” tanya Zulkarnain cemas. Dihampirinya tubuh kaku Az-Zahrah. Langsung tiada sebarang perubahan sejak sebulan yang lalu.

                        “Pihak kami dah berputus harapan. Kelihatan puan Zahrah tiada harapan lagi. Maafkan saya, Encik Zulkarnain. Pihak kami terpaksa mencabut mesin hayat”

                        “Tidak..tidak!!!!! Isteri saya masih bernyawa, doktor!” zulkarnain segera mendakap tubuh kaku Az-Zahrah. Butir kata doktor yang merawat isterinya itu langsung tidak dapat diterima oleh akalnya.

                        “Sabar, Zul. Sebaiknya kita lepaskan saja Zahrah pergi dengan aman,” pujuk Hajah Zainab yang mula mengalirkan air mata. Bahu Zulkarnain diusapnya lembut.

                        “Tidak, bonda. Zahrah masih hidup. Saya akan berusaha walau ke luar negara sekalipun asalkan dia sedar” Haji Ismail hanya membatukan diri. Kesedihannya melihat keadaan Zahrah hanya dipendam dilubuk hati.

                        Doktor yang merawat Az-Zahrah akhirnya keluar dari wad itu. Sengaja memberi sedikit waktu untuk Zulkarnain sebelum mesin hayat Az-Zahrah dicabut. Haji Ismail turut keluar dari bilik tersebut. Hatinya yang sebak tidak tertahan lagi. Hanya Hajah Zainab menemani Zulkarnain yang masih kejap mendakap Az-Zahrah.

                        “Zahrah..!!!” Zulkarnain seperti hilang akal melihat tubuh Az-Zahrah yang berlumuran darah. Didakapnya tubuh kaku itu dengan linangan air mata.

                        “Zahrah dah mati hahahahahaaa baru puas hati aku” Nur Marsyitah duduk tidak jauh dari mereka seakan- akan hilang akal. Wanita itu sesekali ketawa sendiri dan adakalanya menangis.

                        Nur Marsyitah menyebabkan Az-Zahrah koma hingga kini. Pisau yang ditusuk ke dada Az-Zahrah hampir mengenai jantungnya. Walaupun Az-Zahrah masih bernafas namun minda sedarnya seakan terlalu jauh dari dirinya. Saban waktu Zulkarnain menghabiskan masanya menemani sang isteri yang koma.

                        “Abang..” Zulkarnain terhenti dari tangisan sedihnya. Diangkatnya wajahnya yang dibenamkan dibahu Az-Zahrah.

                        “Abang..”

                        “Zahrah..Zahrah dah sedar?” Hajah Zainab yang mengelamun terkejut mendengar bicara Zulkarnain. Segera dihampirinya katil Az-Zahrah.

                        “Bonda..” Az-Zahrah yang berjaya membuka matanya masih kelihatan lemah. Hajah Zainab segera memberitahu khabar berita itu kepada Haji Ismail yang berada di luar. Tidak berapa lama kemudian, doktor masuk ke bilik itu bersama Haji Ismail dan Hajah Zainab.

                        “Ajaib! Saya tak sangka puan Zahrah akan sedar hari ini,” kata doktor yang sebentar tadi baru sahaja mengesahkan yang Az-Zahrah sudah tidak mempunyai harapan untuk hidup.

                        “Kuasa Allah swt, doktor,” jawab Az-Zahrah tersenyum. Zulkarnain yang duduk disisinya kelihatan sungguh gembira. Sesekali dahi Az-Zahrah dikucup mesra. Hajah Zainab mengesat matanya yang dicemari air mata kegembiraan.

                        ‘Terima kasih ya Allah atas kurniaanMu!,’ucap hati kecil Zulkarnain. Dia seakan hampir berputus asa akan kesembuhan Az-Zahrah. Alhamdulillah doanya dimakbulkan yang Maha Esa.

                        “Zahrah bermimpi tadi,” kata Az-Zahrah setelah biliknya itu hanya dihuni Zulkarnain dan dirinya. Zulkarnain yang sedang mengupas buah epal memandang sekilas wajah itu.

                        “Mimpi abang ya,” usik Zulkarnain dengan ketawa kecil.

                        “Zahrah mimpi berada di suatu kawasan yang cantik. Ada seseorang yang memanggil nama Zahrah di sana” Zulkarnain berhenti sebentar dari mengupas buah. Perhatiannya diberikan kepada cerita Az-Zahrah.
                       
                        “Zahrah teruskan tak?”

                        “Tak..langkah Zahrah terhenti kerana tiba- tiba pipi Zahrah basah. Apabila Zahrah sedar..memang benar pipi Zahrah basah tapi bukan kerana Zahrah menangis” Az-Zahrah merenung wajah Zulkarnain yang seakan menahan malu. Dia tersenyum.

                        “Abang sayangkan Zahrah,”ucap Zulkarnain lalu diraihnya jemari milik isteri kesayangannya itu. Perlahan- lahan dikucupnya lembut.

                        “Zahrah takkan biarkan abang sendiri kerana Zahrah adalah bidadari abang” pandangan mereka bersatu. Masing- masing mengulum senyuman bahagia. Terus dipeluknya bahu Az-Zahrah yang telah sekian lama dirinduinya.

                        ‘Terima kasih ya Allah kerana mengembalikan bidadariku’

Dan diantara tanda- tanda kekuasaanNYA ialah Dia telah menciptakanmu dari dirimu
pasangan- pasanganmu supaya kamu merasa tenteram dan cenderung padanya. Dan Dia telah menciptakan antara kamu perasaan kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat tanda- tanda bagi kaum yang berfikir (ar-rum : 21)

***TAMAT***