Sunday 13 January 2013

Bicara cinta

Assalamualaikum wbt...

Apa yang boleh ditafsirkan apabila 'cinta' diangkat menjadi tajuk pagi ini? Bagi memudahkan pemahaman dan dekat di hati semua, kita boleh mentafsirkan cinta sebagai perasaan sayang, tertarik terhadap seseorang tapi cinta lebih sinonim dengan lawan jenis. Mungkin sudah fitrah manusia yang dijadikan berpasang- pasangan menyebabkan kecenderungan cinta sesama lawan jenis namun ada juga yang terpesong mencintai sesama jenis seperti yang berlaku di luar negara..MasyaALLAH!

Semalam, seorang teman bersedih kerana putus cinta. Walaupun dia cuba bersikap biasa, namun saya tahu dan amat faham betapa peritnya perasaan apabila tinggalkan pergi oleh orang yang kita sayangi atau cintai. Sejenak saya terimbas kisah- kisah kejatuhan saya suatu masa dahulu. Ya, pernah jatuh kerana cinta manusia. Namun kini saya bersyukur kerana cinta juga saya kembali ke landasan yang benar iaitu sedang istiqomah mencari cinta MAHA PENGASIH.

Kembali kepada topik teman tadi, saya hanya mampu mendengar keluh- kesahnya ditinggalkan kekasih hati dengan wajah yang sugul. Dia mengakui kecintaannya terhadap si dia membuatkan hatinya teramat kecewa dan mengakui mengenalinya sebagai kesilapan yang pernah dilakukan. Saya tersenyum dan mengatakan kepadanya agar bersabar dengan ujianNYA untuk menanti seseorang yang terbaik dari lelaki yang meninggalkannya itu. Dalam hati saya berdoa agar ALLAH melapangkan dadanya dengan ujian dariNYA dan memberikan kesedaran kepadanya untuk tidak lagi leka mencari cinta manusia.

Wahai para pemilik hati, janganlah mudah menagih dan mengejar cinta manusia kerana cinta manusia akan hilang dan tidak kekal. Cinta manusia sememangnya indah namun dalam keindahannya terselit senjata tajam yang mampu merobek hati- hati kita menjadi lemah, lesu dan akhirnya mati. Sekiranya, kalian pernah menemui cinta- cinta ini dan masih berduka nestapa, bangkitlah wahai saudara- saudara sekalian! Sematkanlah di dalam dada kalian, kita semua adalah milik ALLAH swt. Oleh itu, DIA berhak memberi nikmat lalu menariknya dan sebaliknya. Redhalah dengan ketentuanNYA kerana pengetahuan kita terhadap masa depan amatlah sedikit jika dibandingkan dengan pengetahuanNYA yang MAHA LUAS. Ingatlah saudara- saudara sekalian, DIA tidak akan menghampakan kita kerana ujianNYA itu sebenarnya indah buat kita. UjianNYA itu kasih sayangNYA buat kita.

No comments: