Tuesday 15 January 2013

Musibah tanda kasihNYA


Assalamualaikum wbt...

Siapa yang pernah melihat musibah itu sebagai kebahagiaan? Pasti ramai yang tertawa dan mengatakan kita terlalu positif dalam melihat keburukan musibah. Ini kerana dalam fikiran kita semua, musibah adalah sesuatu yang membawa kecelakaan, penderitaan dan keburukan pada diri. Namun, jika kita berlapang dada dengan musibah dariNYA, InsyaALLAH kita pasti mampu melihat keindahan musibah.

Sebenarnya minda kita merupakan sesuatu kuasa yang mampu mempengaruhi diri kerana segala tindak- tanduk kita berpandukan apa yang keluar di minda. Menyentuh tentang musibah, sekiranya minda kita telah dididik menganggapnya sebagai petaka buruk, maka ia pasti akan menjadi buruk buat kita. Cubalah mengubah persepsi tersebut. Bagaimana? Apabila suatu musibah mendekati kalian, ucaplah 'innalillahi wa inna ilaihi rojiun' - dariNYA kita datang dan dariNYA juga kita kembali. Muhasabah diri melalui musibah yang kita terima agar kita berpeluang memperbaiki kekurangan dan kesilapan yang pernah dilakukan sehingga datangnya musibah. Jangan sesekali marah terhadap musibah kerana ia seakan melempiaskan kemarahan padaNYA. Apa hak kita memarahiNYA? Kita semua adalah milikNYA dan ditugaskan menjadi khalifah di bumi sementara ini. Bersabarlah dengan apa yang menjadi ujianNYA kerana ujian itu salah satu cara untuk meningkatkan kekebalan rohani. 

Pernahkah kita menghitung berapa banyak nikmatNYA buat kita? Pernahkah kita bersyukur sebenar - benarnya syukur terhadap kenikmatan yang diberikanNYA? Tidak pernah bukan? Sekiranya nikmatNYA juga kita kufur dan tidak pernah ambil peduli, kenapa pula kita tersentap dengan sedikit musibah yang diturunkanNYA? Musibah itu tanda sayang dariNYA. DIA ingin menyedarkan kita agar tidak terlalu leka dengan nikmat dunia yang hanya sedikit jika dibandingkan dengan janji - janjiNYA buat golongan solehin di akhirat kelak. Dunia ini hanya persinggahan sementara, wahai sahabat. Dunia ini terlalu murah untuk ditukarkan dengan kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Bukalah minda kalian dan sematkan kembali tujuan sebenar penciptaan kita di dunia ini. Kita dilahirkan bukan sebagai penduduk tetap di dunia sementara ini tapi dilahirkan untuk beramal ibadah yang akan dibawa menghadapNYA kelak.

Monday 14 January 2013

jodoh : aku dan dia??

Assalamualaikum wbt..

Hari ini saya tertarik menulis sesuatu berkaitan 'jodoh'. Ini kerana masih ramai di kalangan kita yang masih sendiri tanpa teman yang halal termasuk saya. Apa yang menarik minat saya untuk menulis entri ini ialah disebabkan pengalaman dan pendapat kawan- kawan berkenaan hal jodoh. Pada hari ini, wanita semakin ramai yang berkerjaya dan hebat- hebat belaka, terlalu jauh berbeza dengan zaman- zaman yang sudah. Mungkin disebabkan fenomena ini, ramai yang masih belum bertemu calon sesuai. Namun ada juga yang mengatakan bilangan lelaki yang semakin sedikit dibandingkan golongan wanita menyebabkan fenomena ini terjadi.

Apabila usia semakin meningkat, kerisauan untuk berumahtangga juga meningkat sama kerana adanya campur tangan orang sekeliling yang kononnya risaukan kita yang tidak berteman. Walaupun layanan dan keprihatinan itu kelihatan agak baik dan menjaga sesama saudara, tahukah kalian ia seakan gunting dalam lipatan buat muslimah yang masih keseorangan? Kalian bertukar menjadi gunting - gunting yang mengoyakkan sedikit demi sedikit harapan dan semangat juang yang mereka ada. Tidak salah sebenarnya ambil berat tapi cubalah tukar cara ambil berat itu kepada sesuatu yang bermotivasi. Contohnya mengajak rakan- rakan yang masih keseorangan ini menghadiri majlis - majlis ilmu, sekurang - kurangnya hati - hati mereka akan terisi dan mula mengenal cintaNYA sekaligus tidak perlu rungsing akan cinta manusia.

Jodoh itu rahsia ALLAH! kita semua sedia maklum berkenaan hal ini. Oleh itu, persiapan menuju ke arah rahsia itu juga perlu. Sebenarnya datangnya jodoh itu bergantung dengan diri kita sendiri dan ikatan kerohanian kita pada MAHA PENGASIH. Cuba kita lihat pasangan yang telah berumahtangga, begitu ramai yang berakhir dengan penceraian. Kenapa ya? Kerana semasa bujang, ikatan dan hubungan dengan ALLAH itu kurang dititikberatkan berbanding hubungan dengan kekasih hati. Justeru, ALLAH mentakdirkan kita dengan mereka yang juga longgar ikatan hatinya terhadap ALLAH. 

Sendiri tanpa kekasih itu bukan sepi tapi indah kerana kita berpeluang mencari dan meraih cinta ILAHI. Tanpa kecemburuan, tanpa pertelingkahan, kita begitu bebas bercinta denganNYA. Bagaimana cara meraih cintaNYA? Perbanyakkan amalan - amalan sunat, rajinkan diri menghadiri majlis - majlis ilmu dan berkawanlah dengan golongan yang mencintaiNYA. Apabila jiwa kita terisi dengan cintaNYA, insyaALLAH kalian tidak akan merasa sepi dalam pencarian jodoh rahsia itu tetapi kalian akan merasa aman dan damai dalam kasihNYA sehinggalah DIA merasakan kita sudah bersedia dan menitipkan buat kita si dia yang mencintaiNYA juga untuk menjaga dan membawa kita bercinta hingga ke syurga..aameen ya robb.

Sunday 13 January 2013

Bicara cinta

Assalamualaikum wbt...

Apa yang boleh ditafsirkan apabila 'cinta' diangkat menjadi tajuk pagi ini? Bagi memudahkan pemahaman dan dekat di hati semua, kita boleh mentafsirkan cinta sebagai perasaan sayang, tertarik terhadap seseorang tapi cinta lebih sinonim dengan lawan jenis. Mungkin sudah fitrah manusia yang dijadikan berpasang- pasangan menyebabkan kecenderungan cinta sesama lawan jenis namun ada juga yang terpesong mencintai sesama jenis seperti yang berlaku di luar negara..MasyaALLAH!

Semalam, seorang teman bersedih kerana putus cinta. Walaupun dia cuba bersikap biasa, namun saya tahu dan amat faham betapa peritnya perasaan apabila tinggalkan pergi oleh orang yang kita sayangi atau cintai. Sejenak saya terimbas kisah- kisah kejatuhan saya suatu masa dahulu. Ya, pernah jatuh kerana cinta manusia. Namun kini saya bersyukur kerana cinta juga saya kembali ke landasan yang benar iaitu sedang istiqomah mencari cinta MAHA PENGASIH.

Kembali kepada topik teman tadi, saya hanya mampu mendengar keluh- kesahnya ditinggalkan kekasih hati dengan wajah yang sugul. Dia mengakui kecintaannya terhadap si dia membuatkan hatinya teramat kecewa dan mengakui mengenalinya sebagai kesilapan yang pernah dilakukan. Saya tersenyum dan mengatakan kepadanya agar bersabar dengan ujianNYA untuk menanti seseorang yang terbaik dari lelaki yang meninggalkannya itu. Dalam hati saya berdoa agar ALLAH melapangkan dadanya dengan ujian dariNYA dan memberikan kesedaran kepadanya untuk tidak lagi leka mencari cinta manusia.

Wahai para pemilik hati, janganlah mudah menagih dan mengejar cinta manusia kerana cinta manusia akan hilang dan tidak kekal. Cinta manusia sememangnya indah namun dalam keindahannya terselit senjata tajam yang mampu merobek hati- hati kita menjadi lemah, lesu dan akhirnya mati. Sekiranya, kalian pernah menemui cinta- cinta ini dan masih berduka nestapa, bangkitlah wahai saudara- saudara sekalian! Sematkanlah di dalam dada kalian, kita semua adalah milik ALLAH swt. Oleh itu, DIA berhak memberi nikmat lalu menariknya dan sebaliknya. Redhalah dengan ketentuanNYA kerana pengetahuan kita terhadap masa depan amatlah sedikit jika dibandingkan dengan pengetahuanNYA yang MAHA LUAS. Ingatlah saudara- saudara sekalian, DIA tidak akan menghampakan kita kerana ujianNYA itu sebenarnya indah buat kita. UjianNYA itu kasih sayangNYA buat kita.